Saturday, August 20, 2011
In:
keluarga
satu RASA dua HATI..
credit to ABDULLAH AL-AYUBI...
syukran atas hadiah-nasihat ke atas ini...
Untuk Suami & Bakal2 Suami
~♥✿ ( Dan tidak lupa kepada Isteri & Bakal2 Isteri ) ✿ ♥~
~ > selamat membaca dan menghayati <~ n_n’
...
Perempuan bagaikan angin,
lembutnya melenakan,
ributnya menggusarkan.
Adakalanya mereka seperti ibu,
menyaji kasih, menghidang sayang,
adakalanya mereka seperti anak,
ingin dibelai, minta dimanjakan,
adakalanya mereka seperti nenek,
berleter seadanya, merungut semahuannya.
Namun,
merekalah insan yang terhampir,
teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.
bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.
( i )
Psst….
Tiba-tiba isteri merajuk
pandai-pandailah memujuk
buka telinga, tajamkan pendengaran,amati suaranya
teliti dengan hati yang terseni
rasional atau emosi ?
andainya emosi, belailah emosi itu
jangan cuba dihadapkan secara rasional
kerana si dia tak akan terdaya
mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab
lengkap dengan perangkaan statistik
atau dokumen saintifik
berserta dengan beberapa affidavit
dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.
Dalam situasi ini
fikiran telah ditawan perasaan
sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa
jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.
Masih gagal ?
cuba gunakan sentuhan
semarakkan belaian.
Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda
emosi isteri
bagai riak-riak air dalam cawan
jangan digoncang…… buat selamba
lambat laun, gelombang akan tenang
air dicawan akan kita minum jua.
Tapi awas…..
kalau ternyata, rajuknya berfakta
masamnya berdata, geramnya berilmiah
marahnya ada prima facie
ini rajuk taraf tinggi namanya
perlu ditangani berhati-hati
kalau ternyata benar,apa salahnya kita terima
mengaku lalu berjanji serta berikrar
” Sayang abang tak ulang lagi ”
katakan ” Sayang….abang alpa ”
bisikkan ” Darling.. I lupa..”
hulurkan tangan, pinta kemaafan
pendekatan kasanova, tapi hati suci
Rajuk isteri seperti mangga muda
perisanya masam
tetapi…
kalau kena cicahnya
enaknya akan terasa.
ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.
( ii )
Arghh…
tiba-tiba isteri merungut
malah kadangkala agak mengugut
minta aksesori serta perabut
minta Villa yang tersergam indah
atau mahligai di lereng bukit
sedangkan kita bukan Shah Jehan
yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya
tetapi isteri pula, persis Nur Jehan
yang meminta petanda keagungan cintanya
Katanya ” Seabadi permata….
segermelapan intan ” …
sedangkan ditangan kita
cuma cincin tembaga.
Aduh…
peritnya mengukur cinta
dalam ukuran mayam atau menimbang setia
menerusi Bursa Saham papan utama
kasih isteri, turun naik
mengikut kadar tukaran wang asing.
Tiada guna menyesali diri
diakan dulu pilihan kita ?
semasa mekarnya
dia dihargai, dipuja-puji
dia kini sudah menjadi ibu
pada anak-anak kita
sudah takdir…
permata yang dipilih
perlu digilap semula.
Namun
putus asa jangan sekali
terimalah dia, dengan redha.
justeru isteri
pada hakikatnya
adalah bayang-bayang suami
wanita adalah tulang rusuk yang bengkok
luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan berkeras
lembut tapi jangan reput.
Katakan RM bukan segala-galanya
lalu pada saat yang kudus
setelah bersolat bersama
bisikkanlah ” Duhai isteriku…
marilah kita bina perkahwinan ini
dengan cinta yang sejati
marilah kita kutip rezeki
dengan keringat tersuci
kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya
padamu isteri,istanamu, di hati ini
padamu sayang
kalung cintamu, di jiwa ini.”
( iii )
Puuuh…
Akan tiba masanya bila ‘isteri’ di hati tapi kurang di mata
usia meningkat kecantikan tergugat dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus
betis, tidak lagi bunting padi
pipi, bukan lagi pauh dilayang
apakah dengan itu akan berkurang cinta kita ?
jika berkurang, nyatalah cinta kita
selama ini cinta di mata bertapak di body
tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah
ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.
itulah cinta sejati.
Namun tidak salah
di samping menyanjung budi,
kita merampingkan ‘body’
kalau ada kesempatan
ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat
tapi ingat niat kerana Tuhan
bukan kerana ingin kuruskan badan
tapi Tuhan Maha Penyayang
Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami
tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan
sama-samalah merampinkan badan
yang terlebih dikurangkan
jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.
Bukan masanya lagi merenung dara
tapi kini saat menghitung dosa
lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti
moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia
di dunia ini dan di akhirat nanti
itulah yang dikatakan
hidup berdua, ‘selepas’ mati pun bersama.
( iv )
Uhhh….
Kekadang isteri mengamuk
dengan ombak prasangka dan taufan cemburu
Apa bukti setiamu suami ?
Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?
kekadang disergahnya kita
ketika keringat masih membasah
baru menjengah pintu rumah.
Ketika itu nilailah diri
mungkin kita berdosa dengan Tuhan
atau bersalah dengan insan
mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan
yang telah kita lakukan
Lalu datang teguran, amaran dan peringatan
secara ‘indirect’ dari Tuhan
hadapkanlah diri ke cermin hati
kaji diri satu persatu
kalau liar, berhentilah
kalau berdosa, bertaubatlah
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
nasihatkanlah baik-baik
bukan senang nak senang
ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
akan mendapat pahala Nabi Ayub
atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khattab
ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri :
” Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak
membantu kita. Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu.
Dia yang membantu menjaga makan minum kita.
Dia yang mencuci kain baju kita
Dia yang membantu membersihkan rumah kita…
lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya ? ”
( v )
Marilah sama-sama kita tabur secubit salji pada segenggam api.
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan.
Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini
walaupun sudah berdekad-dekad usianya.
Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
Marilah kita pertahankan bersama si dia.
si diaku, si diamu
cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber,
biar setia kita makin waja.
Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan
yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.
Bicara ini diakhiri dengan satu coretan
yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir isteri
atau kad ulang tahun perkahwinan
atau surat biru yang ingin kau utuskan padanya…
Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu
pada malam nanti :
Aku hanya seorang suami
yang menerima setulus hati
seorang isteri.
Janji yang termeterai
di akad nikah kita musim yang lalu.
Salam kuhulur
buat menyapa hatimu nan luhur.
Bersamalah kita harungi
derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi
nikmat yang bertandang.
Denai perkahwinan
pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa: rupanya syurga itu
sangat tinggi maharnya.
Isteri…
tidak kutagih setia, sesetia Hawa.
Atau kerinduan menggila Laila
yang sangat dalam.
Terimalah kehadiranku
di sudut tersuci di dalam hatimu…..
seorang isteri.
Subscribe to:
Posts (Atom)